Ads 468x60px

Showing posts with label Tips Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Tips Kesihatan. Show all posts

Thursday, 17 October 2013

TIP ATASI KETIAK GELAP


Teks: Shikin Saaaid


Apabila bercakap tentang isu ketiak gelap, pasti ramai si cantik yang mengeluh. Perkara ini boleh membuatkan kita hilang keyakinan diri, tidak selesa dan mendatangkan perasaan malu yang tak terkata. Namun semua ini boleh diatasi dengan beberapa tip mudah dan kali ini kita cuba cara tradisional.

Apa yang kami tahu, ketiak akan berpotensi menjadi hitam jika tidak berhati-hati ketika mencukur, mencabut bulu ketiak, dan juga boleh disebabkan oleh kesan bahan kimia yang terkandung di dalam deodoran.

 Walaupun ia berada di tempat yang sulit dan tersembunyi, tetapi kesan gelap ini boleh mencacatkan penampilan, terutama mereka yang gemar mengenakan pakaian tidak berlengan. Bagi yang bertudung juga tidak terkecuali. Pasti anda tidak sanggup untuk melihatkan bahagian itu kepada teman-teman atau lebih segan lagi tertunjuk ia pada suami.

Jadi bagi mereka yang sedang mengalami masalah ini atau ingin mengelak daripada terpaksa berhadapan dengan masalah ini, boleh mencuba beberapa tip yang kami sediakan ini. Sekali-skala cuba cara tradisional pun bagus juga. Paling penting kita perlu berusaha atasi masalah ketiak gelap.


i)   Perah sebiji limau dan campurkan dengan sedikit kapur sirih. Sapukan di bawah ketiak sehingga rata dan biarkan selama 10-15 minit dan cuci sehingga bersih. Lakukan secara berkala 3 kali seminggu untuk mendapat kesan yang memuaskan.

ii)  Buah betik mentah sememangnya kaya dengan vitamin C serta mengandungi bahan yang dapat mencerahkan kulit. Parut betik sehingga halus, dan letakkan pada kulit dan biarkan sekitar 15 minit. Seeloknya dilakukan selepas mandi ketika kulit masih segar dan bersih.

iii) Selain daripada betik muda, bengkuang juga berpotensi memutihkan ketiak. Menggunakan cara yang sama, parutkan bengkuang dan letakkan pada kulit dan dibiarkan seketika sebelum dibilas.



Mari kita cuba cara ini. Mudah-mudahan tiada lagi ketiak yang suram!

Sumber: RAPI

Wednesday, 16 October 2013

Rahsia lemon, penyembuh semula jadi

Teks: Shikin Saaaid
Cahaya suria kian terbenam di ufuk barat. Acap kali minuman manis berwarna-warni menjadi pilihan utama untuk diteguk ketika dahaga. Minuman kordial, cincau, tebu dan kopi... nah, ini antara pemuas dahaga yang wajib ada di atas meja santapan. Bagaimana jika sesekali kita lari daripada kebiasaan, rendam sehiris lemon di dalam air kosong dan tambahkan ais untuk rasa ekstra dingin? Ia bebas kalori, malah turut menyimpan seribu manfaat kesihatan.


Buah lemon, merupakan sejenis buah-buahan asli Asia yang menarik dengan warna kuning terang. Di seluruh dunia, ia biasa digunakan untuk tujuan kulinari seperti diperah menjadi minuman, diramu dalam masakan serta boleh diparut untuk menambah perisa kek atau kuihmuih yang enak. Kandungan jus lemon diperkaya dengan 5-6% asid sitrik, seterusnya menitipkan rasa masam di sekitar paras pH 2-3.


KHASIAT

Sebiji lemon mampu menghasilkan kira-kira tiga sudu besar pati jus berkuantiti 50ml. Bagi memudahkan ia diperah, lemon perlu disimpan dalam suhu bilik agar jusnya lebih mudah dikeluarkan. Ia mengandungi manfaat karbohidrat, lemak, protein, thiamine (vitamin B1), riboflavin (vitamin B2), niasin (vitamin B3), asid panthothenic (vitamin B5), vitamin B6, folat (vitamin B9), vitamin C, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, potassium dan zink.
 
Bagi anda yang masih baru mengenali buah ini, menikmati lemon boleh dilakukan melalui beberapa gaya masakan seperti mencuba resipi ayam bersos lemon. Untuk menggalakkan si cilik turut mencubanya, anda mungkin boleh mengolah sendiri aiskrim lemon sorbet, agar-agar lemon, kek lemon atau perah sahaja untuk dijadikan lemonade yang segar! Sambil itu, terangkan kepada yang tersayang beberapa khasiat lemon:
1.       Lemon kaya dengan antioksidan yang menyahaktifkan radikal bebas dan menghalang pelbagai penyakit berbahaya seperti strok, penyakit kardiovaskular dan kanser.
2.       Jus buah ini membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).
3.       Titisan pati lemon pekat di dalam air panas dipercayai dapat membersihkan sistem penghadaman dan hati.
4.       Pengambilan jus sitrus ini membantu meningkatkan produksi antibodi di dalam darah untuk menentang pelbagai jangkitan dan serangan mikroorganisma.
5.       Kajian menemui khasiat anti-karsinogenik di dalam lemon untuk merendahkan risiko kanser kolon, prostat dan payudara. Ia turut mencegah kerosakan metabolisme dalam sel yang akan menukarnya menjadi karsinogenik.
6.       Pesakit jangkitan salur kencing atau genorrhea juga boleh mengambil jus lemon sebagai langkah pencegahan.
7.       Amalan menikmati jus lemon setiap hari membantu mengurangkan masalah sakit colic dan gastrik.
8.       Amalkan sesudu sirap lemon pekat sehari untuk mengubati asma.
9.       Jus lemon amat sesuai diminum untuk mencegah dehidrasi dan kesan diarea. Ia juga membantu memberikan cahaya keserian wajah.
10.   Mengalami inflamasi lidah, stomatitis atau gingivitis di dalam mulut? Amalkan meminum jus lemon untuk mengatasinya.
11.   Berkumur dengan jus lemon juga dapat menyingkirkan plak, memutihkan dan menguatkan enamel gigi. Ia juga mengubati jangkitan tekak dan bagus untuk rawatan diphtheria.
12.   Kebiasaannya, pati jus lemon digunakan untuk memerap makanan laut atau daging untuk membunuh bakteria dan organisma yang terdapat di dalamnya.

Sumber: Majalah NONA

Friday, 11 October 2013

Usah Panik Bengkak Susu

Teks: Shikin Saaaid
Ibu-ibu yang baru bersalin pasti tidak terlepas daripada mengalami situasi bengkak susu di bahagian payudara. Keadaan ini terjadi ekoran peningkatan hormon lacta yang menghasilkan susu badan yang banyak selepas 72 jam anda bersalin.

Walaupun terpaksa menanggung kesakitan akibat bengkakan ini, namun ia sebenarnya menunjukkan tanda positif bahawa ibu berkenaan sihat dan sistem badan mereka berupaya menghasilkan susu yang banyak buat bayi mereka. Pun begitu, bayi anda perlu diberikan susu dengan kadar segera bagi mengelak payudara anda membengkak dan mengeras sehingga berlakunya bengkak susu.

Apabila situasi tersebut terjadi, mengepam payudara bagi mengeluarkan susu bukan cara paling berkesan untuk menyelesaikan kekusutan. Ini kerana pada ketika itu saluran susu seolah-olah tersumbat sehingga susu yang dipam tidak keluar. Langkah terbaik bagi meredakan rasa bengkak tersebut adalah melalui hisapan bayi secara langsung.


Panduan berikut juga boleh anda amalkan di saat mengalami permasalahan ini.
  1. Pakai bra menyusu yang dapat menyokong payudara termasuk di waktu malam. Pastikan pemakaian bra tersebut betul dan sesuai serta tidak terlalu ketat.
  2. Susukan bayi anda setiap 2 – 3 jam. Kekerapan anda memberikan susu kepada bayi dapat mengurangkan bengkak di samping menambah pengeluaran susu. Elakkan menyusu bayi di sebelah bahagian payudara sahaja.
  3. Pastikan bayi anda melekap kemas di bahagian areola iaitu kawasan kulit gelap di sekeliling putting semasa menyusu. Areola yang mengeras menyukarkan usaha bayi menyusu . Sebaiknya perah susu terlebih dahulu bagi memudahkan air susu keluar dan melembutkan areola.
  4. Ketika menyusukan bayi, urut lembut kawasan payudara bagi melancarkan aliran susu.
  5. Jika payudara terlalu penuh dengan susu, gunakan pam sekali-sekala bagi mengeluarkannya. Jangan pam susu secara berlebihan sekiranya bayi sudah menyusu dengan baik kerana ia akan menyebabkan penghasilan susu berlebihan.
  6.  Daun kobis dipercayai membantu melegakan payudara yang bengkak. Namun, penggunaan daun kobis secara kerap di bahagian payudara akan menyebabkan susu kering.
  7. Urut payudara sebelum mengepam susu. Urut secara membulat seperti melakukan pemeriksaan payudara bagi merasai bahagian yang berketul-ketul sekaligus memudahkan aliran susu yang baik.
  8. Jika bengkak masih belum berkurang, segeralah berjumpa doktor.

sumber: majalah NONA 

Wednesday, 18 September 2013

KEPERLUAN VITAMIN BAGI WANITA HAMIL

Teks: Norashikin Said


Assalammualaikum……

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi dengan wanita yang sedang hamil di luar sana mengenai kepentingan pengambilan suplemen semasa mengandung.Pengambilan vitamin ini tidak menjamin 100% anak yang dilahirkan itu sempurna.Tapi sebagai manusia biasa kita perlu berusaha untuk mengurangkan risiko itu dan sentiasa berdoa kepada yang ESA supaya anak yang bakal lahir nanti sihat dan tiada kekurangan. Semua ibubapa mengharapkan yang terbaik untuk anak yang bakal lahir nanti.

Justeru itu, wanita hamil sangat memerlukan vitamin dan mineral bagi memastikan bekalan nutrisi yang dimakan mencukupi kerana mereka terpaksa berkongsi dengan bayi dalam kandungan.

 Pengambilan suplemen vitamin memang digalakkan supaya  dapat mengurangkan risiko kecacatan ketika hamil, kelahiran pramatang dan kekurangan berat ketika bayi dilahirkan. Ia juga memberi kekuatan dan membantu wanita hamil mendapat kesihatan terbaik sepanjang kehamilan.

Ia juga membantu mengurangkan risiko kekurangan nutrisi di kalangan wanita yang mengalami loya, muntah, dan tidak mempunyai selera untuk makan di aawal kehamilan.

Antara suplemen yang penting ketika hamil ialah zat besi(iron), kalsium, asid folik dan
omega-3.Namun pengambilan suplemen tidak pula bermakna seorang wanita hamil boleh meninggalkan pemakanan yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak dan air. Pastikan suplemen yang diambil tidak melebihi dos yang ditetapkan.

>>ASID FOLIK<<

Asid folik menolong melindungi bayi dalam kandungan anda daripada kecacatan dalam sistem sarafnya (kecacatan tiub neural) seperti spina bifida.

Spina bifida berlaku apabila pelindung yang melitupi saraf tunjang bayi tidak tertutup dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal.

Dalam masa
12 minggu pertama kehamilan, otak dan sistem saraf bayi terbentuk dan berkembang dengan pesat. Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk mengambil folik asid setiap hari pada masa itu.

Anda dinasihatkan mengambil 400 mikrogram (mcg) asid folik setiap hari sebaik sahaja anda merancang untuk hamil. Sementara wanita yang telah hamil 1000mcg sehari.Kemudian, teruskan mengambilnya untuk 12 minggu yang pertama kehamilan. Baik juga jika anda makan makanan yang kaya dengan folat.

>>KALSIUM<<

Kalsium pula sanagt penting bagi pembentukan tulang dan gigi.Bekalan kalsium dalam vitamin selalu mempunyai kadar yang lebih tinggi berbanding dengan bekalan kalsium dalam multivitamin yang biasa.

Tanpa bekalan  kalsium yang cukup, wanita yang hamil terdedah kepada rsisko preeclampsia, yang mungkin membawa mautkepada ibu dan anaknya dalam Rahim.Dos yang diperlukan bagi wanita hamil ialah 1000mg setiap hari.

>>OMEGA 3<<

Omega-3 diperlukan untuk perkembangan otak, membentuk system saraf dan menjamin penglihatan yang baik. Ikan adalah sumber terbaik bagi omega-3 terutama ikan salmon. Bagi wanita hamil dan menyusukan bayi dos yang dicadangkan ialah 200-300mg sehari.


>>ZAT BESI(IRON)<<

Iron penting untuk pembentukan sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh.Ia mengurangkan risiko kelahiran pramatang.

Dos yang biasa dicadangkan untuk wanita hamil ialah 27mg, berbanding dengan dos bagi wanita tidak hamil ialah 18mg. Pastikan tidak melebihi dos bagi mengelakkan kesan sampingan seperti sembelit dan pedih perut.

Terdapat beberapa jenis makanan yang mengganggu penyerapan zat iron seperti ikan, danging merah dan hati. Oleh itu pengambilan zat iron harus dilakukan sejam sebelum atau 2 jam selepas memakan makanan seperti ini.

Begitu juga jika memakan makanan jenis tenusu seperti susu, mentega atau keju. Elakkan juga suplemen yang mengandungi kalsium atau antacid yang mengandungi kalsium bersama suplemen zat besi kerana ia menghalang penyerapan iron ke dalam tubuh.

Kesimpulannya pastikan suplemen yang diambil tidak melebihi dos yang ditetapkan dan sentiasa konsisten dalam pengambilan vitamin bagi memastikan kesihatan terbaik untuk ibu dan bayi.

Wallahualam..

Thursday, 5 September 2013

KENAPAKAH SUSU IBU PALING TERBAIK?

Teks: Norashikin Said



Semua ibu dah sedia maklum yang susu ibu adalah paling baik di dunia.Tiada susu yang setanding dengan susu ibu. Tapi kenapa masih ramai yang memberi susu formula setelah berputus asa dalam meneruskan penyusuan susu ibu. Sepatutnya semasa kehamilan lagi ibu2 perlu buat research mengenai  proses penyusuan dan kelebihan susu ibu ini.Kaum suami pula perlu memberi sokongan moral kepada isteri supaya matlamat untuk penyusuan selama 6bulan tercapai. Hakikatnya kita tahu yang susu ibu mengandungi segala kebaikan yang diperlukan oleh bayi dalam jumlah yang betul iaitu protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.
Menurut Pakar pemakanan dari Universiti California, Dr. J. Bruce German, khasiat susu ibu terlalu banyak berbanding apa juga jenis susu formula.Antaranya ia mempunyai kolestrum, iaitu cecair berwarna kekuningan yang keluar sebelum susu keluar, yang membantu sistem pencernaan bayi dan menambah baik sistem imunisasi badan bayi.
“Susu ibu adalah zat makanan paling ideal untuk bayi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan pertama.
“Ia cukup berkesan memastikan pembesaran sempurna, mengelak jangkitan penyakit, menggalakkan perkembangan kecerdasan anak dan menghindari obesiti serta penyakit,” katanya dalam satu sesi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Susu ibu atau susu badan adalah makanan terbaik untuk bayi anda. Tanyalah mana-mana pakar kesihatan dan mereka akan mengatakan bahawa cara yang paling sihat untuk memberi makan kepada bayi baru lahir ialah dengan menyusukan bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa menyusu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama tiga bulan boleh membantu mencegah gastroentreritis pada bayi. Jika anda menyusukan bayi anda selama sekurang-kurangnya empat bulan, anda boleh mengurangkan risiko bayi anda untuk mendapat penyakit pernafasan dan jangkitan telinga.

Susu ibu merupakan sumber makanan yang lengkap; ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi anda – sekurang-kurangnya 400 jenis – termasuk hormon dan bahan melawan penyakit yang tidak terdapat dalam susu formula bayi. Malah, kandungan nutriennya akan mengadaptasi kepada keperluan bayi anda semasa dia membesar. Dan selain dari manfaat pengembangan minda dan imuniti jangkitan dalam susu ibu, yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana susu formula, penyusuan badan boleh membantu membina ikatan istimewa antara anda dan bayi anda. Apabila anda menyusukan bayi anda, bayi anda memanfaatkan kontak kulit dengan kulit, di samping pelukan dan pegangan. Anda juga akan berasa begitu.

Penyusuan badan mempunyai banyak faedah bagi kedua anda dan bayi anda. Ia cara yang istimewa bagi anda berapat dan mesra dengannya. Lebih lagi, susu ibu memberikan bayi semua yang diperlukan untuk berkembang maju dalam enam bulan pertama hidupnya.

Anda juga boleh meneruskan penyusuan badan setelah bayi anda mula makan pepejal di sekitar enam bulan. Susu ibu penuh nutrien dan akan terus mendatangkan kebaikan bagi bayi.

Penyusuan badan juga membantu bayi anda melawan infeksi semasa bulan-bulan pertama kehidupan. Susu ibu mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi anda daripada penyakit seperti kuman dalam perut (gastroenteritis), selesema, infeksi urinari dan
jangkitan telinga.

Susu ibu juga mengurangkan risiko bayi mendapat kondisi alergik seperti
asma dan ekzema. Ia juga boleh mengurangkan risiko bayi mendapat penyakit serius seperti kencing manis kanak-kanak dan leukemia.

Selain antibodi dalam susu anda, badan anda berfungsi menghasilkan antibodi-antibodi baru sebaik saja anda terdedah kepada infeksi. Antibodi-antibodi ini dipindahkan ke susu anda, sedia untuk diterima bayi sebaik saja dia mendapat penyusuan badan yang seterusnya.
Susu ibu mempunyai rantai ganda asid lemak politaktepu, yang penting untuk membantu bayi mengembang otak. Penyusuan ibu semasa bulan-bulan pertama akan memperbaiki perkembangan kognitif bayi anda. Secara teori, ini bermakna menyusu badan boleh membuat bayi anda lebih pintar.

Penyusuan badan juga merupakan pilihan yang paling sihat bagi anda. Ia mengurangkan risiko di usia tua anda mendapat kanser payudara pra-menopaus, kanser ovari dan retak tulang dari osteoporosis.

Dari sudut praktikal, satu faedah besar penyusuan badan ialah ianya sangat mudah diurus. Tiada apa untuk dicuci, disteril atau disediakan. Anda dan bayi anda akan gembira melakukannya, dan anda akan merasakan satu kepuasan melihat dia membesar dan berkembang. Dan semua itu disebabkan usaha anda!

Wednesday, 4 September 2013

10 LANGKAH UNTUK KEHAMILAN SIHAT

Teks:Norashikin Said

Bakal ibu sekalian pasti nak baby dalam kandungan sihat kan.Saya nak kongsi tips yang sangat bermanfaat untuk bakal2 ibu yang gojes sebagai panduan mudah dan persediaan yang perlu dijaga ketika hamil.Penting sangat bagi memastikan kandungan berada dalam keadaan terbaik dan sihat sejahtera.Masa kehamilanlah kita kene menjaga diri dengan baik dari segi fizikal dan juga emosi.

1. Rancangkan rawatan antenatal anda dari awal

Penjagaan antenatal yang baik adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Memilih doktor yang akan menjaga anda dari awal lagi bermakna anda akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik sebagai persediaan untuk kelahiran. Walaupun anda tidak berpeluang untuk memilih penjaga, anda mungkin boleh dapat membangunkan persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang anda berjumpa dalam tempoh masa anda menjalani rawatan kehamilan anda. Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pilihan rawatan antenatal anda.

2. Makan dengan baik

Anda tidak perlu "makan untuk dua orang" apabila anda hamil, atau minum susu penuh lemak atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu ibu. Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang akhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengambil
diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera untuk makanan tertentu, tetapi makanan tersebut memang boleh digantikan dengan yang lain yang mengandungi nilai-nilai nutrisi yang sama.

Pastikan diet anda merangkumi banyak
buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari). Sediakan sarapan anda berasaskan karbohidrat seperti roti, pasta dan nasi (sebaik-baiknya jenis bijirin sempurna supaya anda mendapat serat pada kadar yang banyak). Sertakan protein seperti ikan, daging, telur, kacang atau kekacang polong, dan sejumlah susu dan makanan tenusu, setiap hari. Juga, adalah penting untuk tidak mengabaikan sarapan pagi di samping mengawal saiz hidangan dan pemakanan snek sementara menunggu waktu sarapan.

3. Berhati-hati tentang kebersihan makanan

Adalah lebih baik untuk mengelakkan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bagi bayi anda.Listeria, yang boleh menyebabkan keguguran atau penyakit yang teruk bagi bayi baru lahir, mungkin berpuncakan keju lapuk matang yang lembut, seperti Brie dan Camembert, dan keju berurat biru, seperti Stilton. Jangan makan semua ini semasa anda hamil. Keju keras, seperti cheddar dan keju lembut diproses, seperti keju kotej, Philadelphia dan Boursin, adalah selamat untuk dimakan.

Untuk mengelakkan
toxoplasmosis, yang sebenarnya jarang berlaku, namun boleh menjejaskan bayi dalam kandungan secara serius, ia adalah penting untuk memakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman, juga, elakkan daripada makan daging yang kurang masak atau mentah, dan cucilah sayur-sayuran dan sayur salad dengan rapi untuk membersihkannya dari sebarang tanah atau kotoran.

Jangkitan salmonella boleh berlaku akibat memakan ayam yang kurang masak, dan
telur mentah atau dimasak lembut. (Baca lebih lanjut mengenai kebersihan makanan semasa hamil).

4. Mengambil tambahan folik asid dan memakan ikan

Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah folik asid (juga dikenali sebagai folat), yang boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi.

Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang
tiga bulan pertama kehamilan.

Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semulajadi melalui pemakanan anda. Folat didapati dalam banyak makanan yang berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin. Lain-lain nutrien yang penting untuk kesihatan anda dan bayi anda adalah besi dan kalsium, yang pada umumnya diperolehi melalui pemakanan biasa anda.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap
praeklampsia, berat kelahiran bayi dan perkembangan otak dan saraf bayi di peringkat akhir kehamilan.

Ikan berminyak mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3, yang bayi anda perlukan semasa dia membesar dan berkembang, tetapi ia juga mengandungi merkuri dan bahan pencemar lain. Syor semasa ialah supaya memakan ikan berminyak seperti hering, tenggiri, salmon atau sardin tidak lebih dari dua kali seminggu, tetapi anda masih boleh memakan jenis ikan lain seberapa banyak yang anda suka.

Jika anda tidak suka ikan,
tambahan minyak ikan senang diperolehi (pilih jenama yang bebas Vitamin A berbentuk retinol, yang tidak digalakkan semasa kehamilan).

5. Bersenam selalu

Satu program senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang akan diperlukan untuk menampung berat badan anda yang akan bertambah semasa mengandung dan untuk menangani tekanan fizikal kelahiran. Ini juga akan memudahkan anda untuk kembali balik ke bentuk badan asal anda selepas bayi anda dilahirkan.

Senaman boleh menambah perasaan ceria dan membantu anda menangkis
kemurungan semasa mengandung. Pakar-pakar tidak pasti macam mana senaman menyebabkannya, tetapi terdapat bukti yang semakin meluas bahawa ia mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina, yang membantu mengawal emosi dan perasaan anda.

Jika anda biasa menjalankan senaman dalam bentuk sejenis sukan, anda boleh teruskan sahaja selagi ia selesa untuk anda, melainkan jika sukan itu membawa risiko jatuh atau terhantuk. Senaman lebih ringan seperti
berjalan, berenang dan aerobik air juga sangat bermanfaat.

6. Mula lakukan senaman lantai pelvik

Adalah agak biasa bagi wanita yang mengandung atau yang telah melahirkan anak untuk mengalami masalah tekanan inkontinens; apabila sedikit air kencing bocor akibat aktiviti tertentu, termasuk bersin, ketawa dan senaman. Anda boleh membantu mengelakkan perkara ini daripada berlaku dengan melakukan senaman lantai pelvik, dan mulakanlah ini sebelum hamil atau semasa mengandung.

Otot lantai pelvik adalah gantungan otot di dasar pelvis anda yang menyokong pundi kencing, vagina dan rektum. Ianya boleh terasa lemah daripada biasa semasa hamil sebab tekanan tambahan ke atasnya, dan sebab hormon kehamilan menyebabkannya mengendur sedikit.

Lantai pelvik anda boleh dikencang dan diperkuatkan dengan program latihan harian. Cadangan semasa mengesyorkan anda melakukan senaman lantai pelvik tiga kali sehari, sebanyak lapan kontraksi setiap kali. Baca artikel kami mengenai
senaman lantai pelvik semasa mengandung untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk melakukannya dengan betul.

7. Hadkan pengambilan alkohol

Sebab sebarang alkohol yang anda minum akan sampai kepada bayi anda dengan cepat melalui aliran darah anda dan plasenta, anda boleh mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya sama sekali, atau sekurang-kurangnya untuk mengawal jumlah yang anda minum.

Di UK, Kolej Diraja Physician, dan baru-baru ini, Jabatan Kesihatan, mengesyorkan bahawa wanita hamil mengawal keadaan dengan menjauhi alkohol sama sekali. Kolej Diraja Obstetrisian dan Ginekologi dan Agensi Piawaian Makanan mengesyorkan, jika anda bercadang untuk masih minum, supaya menghadkannya kepada satu atau dua unit alkohol, tidak lebih daripada sekali atau dua kali seminggu, dan jangan sampai mabuk.

Wanita yang banyak minum secara kerap (lebih daripada enam unit sehari) semasa mengandung dianggap berisiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi dengan gangguan spektrum alkohol janin (Fetal Alcohol Syndrome), yang menyebabkan pelbagai masalah dari masalah pembelajaran kepada kepada masalah kecacatan kelahiran yang lebih serius.

8. Kurangkan pengambilan kafein

Kopi, teh dan minuman jenis cola adalah perangsang yang sederhana, dan walaupun bukti penyelidikan belum lagi jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi mempunyai berat badan lahir rendah, atau meningkatkan risiko keguguran.

Nasihat semasa mencadangkan bahawa dua cawan kopi (bersamaan empat cawan teh atau lima tin cola) sehari tidak akan menjejaskan bayi anda, walaupun satu kajian menunjukkan bahawa tahap kafein yang rendah masih boleh meningkatkan risiko keguguran.

Sama seperti
alkohol, di mana lebih baik jika lebih berhati-hati, anda juga mungkin boleh memilih untuk mengurangkan pengambilan kafein secara signifikan, atau, sebaliknya, beralih kepada kopi tanpa kafein, teh, atau jus buah-buahan, terutamanya semasa trimester yang pertama. Alternatif yang segar ialah segelas air dengan perahan sehiris limau atau lemon.

9. Berhenti merokok

Wanita yang merokok meningkatkan risiko keguguran, bersalin pramatang, kelahiran mati dan kematian kot.

Merokok pada trimester pertama juga meningkatkan sedikit risiko melahirkan anak dengan
bibir atau lelangit rekah.

Walaupun masa paling baik untuk berhenti merokok ialah sebelum anda merancang untuk hamil, namun begitu, apa jua pengurangan dalam bilangan rokok yang anda hisap setiap hari semasa hamil akan memberikan bayi anda peluang yang lebih baik. (Baca nasihat lanjut mengenai
bagaimana untuk berhenti merokok semasa kehamilan.)

10. Lebihkan berehat

Keletihan yang anda rasakan di trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu anda supaya "jangan terlalu aktif". Mungkin tidur di tengah hari terasa seperti perbuatan manja yang anda tidak mampu lakukan, tetapi anda dan bayi anda akan memdapat manfaat darinya. Jika anda tidak boleh tidur, sekurang-kurangnya letakkan kaki ke atas dan berehatlah secara apapun yang sesuai dengan keperluan anda selama 30 minit atau lebih.

Jika sakit belakang mengganggu tidur anda, cuba urutan (beritahu ahli terapi yang anda hamil atau carilah bidan yang berpengalaman dalam membantu wanita hamil), kelas natal air, atau kelas senaman khusus untuk penjagaan belakang>. Senaman dan aktiviti relaks juga boleh membantu dengan masalah tidur yang berkaitan dengan stres. Cuba teknik relaks, yang selamat semasa mengandung, termasuk regangan dan pernafasan dalam. Jangan lupa memberitahu pelatih yang mengendalikan kelas senaman dan relaks itu yang anda sedang hamil atau pilihlah kelas khusus untuk wanita hamil.

Sumber: BabyCenter

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...